KUALA LUMPUR: Sebanyak RM20,000 disumbangkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kepada WWF Malaysia bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan spesies haiwan ikonik di negara ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sumbangan tersebut diberikan sebagai komitmennya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan untuk merangka program pendidikan dan kesedaran, terutamanya melibatkan anak-anak di kawasan Lembah Pantai, termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sekitarnya.
“Melalui kerjasama dengan WWF Malaysia, kita boleh mendedahkan mereka kepada isu-isu pemuliharaan alam sekitar serta kepentingan menjaga habitat haiwan liar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan inisiatif Charms for Change anjuran Touch ’n Go dengan kerjasama WWF Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Touch ‘n Go, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad dan Pengerusi WWF Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Pada majlis sama, Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Touch ’n Go yang menyumbangkan RM20,000 kepada Pusat Tuisyen Anak Malaysia bagi membantu pelajar golongan daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi mendapatkan akses pendidikan lebih baik.
“Insya-Allah, saya akan berbincang dengan pihak WWF Malaysia untuk merangka beberapa program kepada kanak-kanak di sekitar Lembah Pantai,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan peranan penting media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar, termasuk insiden haiwan liar yang menjadi mangsa pelanggaran jalan raya akibat pembangunan yang tidak lestari.
“Kita sering mendengar berita tentang spesies tertentu yang terkorban akibat pertembungan dengan manusia.
“Ini membuktikan betapa rapatnya hubungan antara manusia dan alam, tetapi kita perlu mencari jalan untuk memperbaiki keseimbangan ini agar alam sekitar terus terpelihara,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak pihak, termasuk syarikat korporat dan individu tampil menyokong usaha pemuliharaan alam demi memastikan warisan biodiversiti negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.-UTUSAN.