PETALING JAYA: Seramai enam kakitangan stesen radio, Era FM dijangka hadir ke Bukit Aman hari ini untuk dirakam percakapan membabitkan siasatan dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Difahamkan enam kakitangan itu termasuk tiga penyampai radio terbabit iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir selain tiga kakitangan lain.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keenam-enam individu terbabit akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 11 pagi ini.
“Mereka akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Setakat ini, sebanyak 44 laporan polis dibuat di seluruh negara berkaitan isu terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media semalam melaporkan polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap kakitangan Era FM berkaitan video tular mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial, semalam.
Ia selepas laporan dibuat seorang jurutera berusia 44 tahun yang melihat satu hantaran video di aplikasi Facebook memaparkan beberapa individu daripada pihak stesen radio terbabit didakwa mempersendakan agama Hindu.
Razarudin dilaporkan berkata, pengadu mendakwa beberapa individu daripada radio terbabit didakwa bersorak perkataan ‘Vel,Vel’ manakala seorang lelaki sedang menari.
Semalam tular video mendakwa penyampai radio 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir memohon maaf atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu.- UTUSAN