Empat R&R sementara di LTU - Utusan Malaysia

Empat R&R sementara di LTU

WAN ROSDY Rosdy Wan Ismail (tengah) dalam sidang akhbar Pengumuman Dividen Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) Tahun 2024 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Empat kawasan hentian rawat dan rehat (R&R) sementara akan dibina di lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dijangka siap kira-kira lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dua R&R sementara akan dibina di Bentong melibatkan kedua-dua arah laluan, manakala masing-masing satu di Lipis dan Raub.

“Kemudahan ini dibina susulan aduan pengguna yang berdepan kesukaran mendapatkan tempat sesuai untuk berhenti berehat, menukar lampin bayi dan membuang air kecil serta besar.

“Kita sudah minta sedikit peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dan untuk mempercepatkan dan ia perlu dibuat dengan segera, mungkin bajet lambat dapat, kita akan gunakan peruntukan kerajaan negeri dan kita akan gantikan balik dengan peruntukan kerajaan Persekutuan.

“R&R sementara ini akan siap empat, lima hari sebelum raya (Aidilfitri) ,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis Pengumuman Dividen Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan tentang keadaaan LTU yang dipenuhi sampah dan mencacatkan permandangan terutama ketika cuti musim perayaan serta cuti persekolahan.

Pengguna laluan itu memilih untuk berhenti di bahu jalan untuk makan dan membuang sampah merata-rata bukan saja mengganggu kelancaran trafik malah meningkatkan risiko kemalangan.

Wan Rosdy berkata, keempat-empat R&R sementara berkenaan akan terus digunakan selepas Aidilfitri sebelum dibina R&R tetap di lokasi sama sebaik sahaja peruntukan diterima daripada Kerajaan Persekutuan.

“Tapi yang sementara ini… nama pun sementara. Ia tidak seperti mana kekal, jadi kita harap pengguna memahami. Daripada tiada langsung, biarlah ada.

“Sekurang-kurangnya dapat membantu menyelesaikan masalah. Yang kekal kita akan bina juga, kita sudah dalam proses dan akan laksanakan dalam masa terdekat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN