Empat laluan balik ke Pantai Timur - Utusan Malaysia

Empat laluan balik ke Pantai Timur

LALUAN selepas Plaza Tol Gombak yang boleh digunakan perantau untuk pulang ke Pantai Timur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Terdapat empat laluan alternatif di Pahang yang boleh dilalui perantau untuk pulang beraya ke Pantai Timur selepas keluar dari Plaza Tol Gombak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, warga kota boleh menggunakan laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang mana pengguna boleh keluar di persimpangan Mempaga di Lebuhraya KLK bagi perjalanan ke Raub, Kuala Lipis, dan Kelantan.

“Bagi Lebuhraya Pantai Timur (LPT1 dan LPT2), laluan ini sesuai bagi perantau yang ingin pulang ke Kuantan, Terengganu, dan Kelantan.

“Selain itu, Jalan Persekutuan 68 (Gombak-Bentong) juga boleh digunakan sebagai aluan alternatif bagi pengguna yang ingin mengelak kesesakan lebuh raya.

“Bagi Jalan Persekutuan 2 (Bentong-Kuantan) pula, laluan ini merupakan alternatif lain bagi mereka yang ingin ke Pahang dan seterusnya ke Pantai Timur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada musim perayaan kali ini, sebanyak 3.14 juta kenderaan dijangka memasuki Pahang sempena sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi laluan utama yang menghubungkan negeri ini.

Sementara itu, Razali turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk membuat persediaan awal dengan menyemak hebahan di media sosial Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong, Raub, dan Lipis sebelum memulakan perjalanan ke Kelantan.

Beliau juga mengingatkan pemandu agar memandu dengan berhati-hati, mematuhi had laju dan tidak membuang sampah merata-rata.

“Sekiranya merasa letih, pengguna jalan raya disarankan untuk berehat di R&R sementara yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Bentong dan Majlis Daerah Lipis di sepanjang laluan LTU.

“Pengguna jalan raya juga perlu mematuhi peraturan lebuhraya bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN