KOTA BHARU: Penerbit dan komposer terkenal tanah air Eddie Hamid menyerahkan sepenuhnya kepada Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau Eda Ezrin, 30, untuk membuat keputusan samaada mahu meneruskan kerjaya seni atau tidak sejurus dilepaskan daripada tuduhan milik 6,059 pil kuda oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand semalam.
Eddie Hamid bagaimanapun berkata, semua itu bergantung kepada keadaan penyanyi berkenaan.
“Kita tengok dulu keadaan Eda Ezrin, dia nak teruskan ke atau tidak berjaya seninya itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu Segalanya Telah Berakhir itu turut meluahkan rasa syukur disebalik pembebasan Eda Ezrin.
Katanya, walaupun penyanyi itu masih belum dibebaskan sepenuhnya dia yakin Eda Ezrin akan keluar dapat masa terdekat.
“Sejak ditahan awal lagi saya percaya Eda Ezrin tidak bersalah dengan tuduhan tersebut,” ujarnya yang sedang mengerjakan ibadah umrah ketika ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Eda Ezrin, suami dan empat rakan mengalirkan air mata selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan mereka daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 1 November lalu.
Selain Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35 dan empat lagi rakan mereka iaitu Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdieka Mohd. Noor, 33, serta Zuhaira Nasrin, 26, yang berdepan tuduhan sama turut dibebaskan.
Bagaimanapun, mereka kembali semula ke Penjara Wilayah Narathiwat bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan hingga empat bulan.
Namun jika sebulan sudah tamat, pihak pendakwaan boleh membuat rayuan pada bulan kedua.
Kebiasaannya pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan dalam tempoh sebulan ini.
Sekiranya rayuan yang dibuat oleh pihak pendakwaan selepas ini memihak kepada anak guamnya sebagaimana hari ini, maka kes berkenaan dianggap selesai sepenuhnya.-UTUSAN