NARATHIWAT, THAILAND: Penyanyi Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini membebaskan dia, suami dan empat lagi rakan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 6 Mac lalu.
Eda Ezrin yang masih menjadi ‘orang tahanan’ di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat berkata, pembebasan daripada tuduhan itu cukup menggembirakan dirinya termasuk ahli keluarga.
“Tolong sampaikan salam buat semua termasuk peminat, Insya-Allah lepas keluar dari sini (penjara) saya akan teruskan kerjaya seni sebagai penyanyi,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama Menteri Kehakiman Thailand, Leftenan Kolonel Polis Thawee Sodsong semalam.
Mengulas lanjut Eda Ezrin memberitahu, dia reda terpaksa menyambut Aidilfitri di penjara.
Katanya, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang maklumat sama ada pendakwa raya telah mengemukakan rayuan di mahkamah atau sebaliknya.
“Tempoh untuk kemuka rayuan akan tamat awal bulan depan. Cuma saya amat berharap pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin, suaminya dan empat rakan yang dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda oleh Mahkamah Narathiwat di sini, perlu kembali semula ke penjara.
Kesemua mereka perlu kembali ke Penjara Wilayah Narathiwat bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan hingga empat bulan.
Sekiranya, tiada rayuan Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, akan dibenarkan pulang.-UTUSAN