Duda 'gersang' tidak mengaku salah cabul wanita di bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Duda ‘gersang’ tidak mengaku salah cabul wanita di bazar Ramadan

TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Temerloh di Temerloh, Pahang selepas didakwa mencabul wanita di bazar Ramadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seorang duda yang dikatakan ‘gersang’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh di sini hari ini atas dakwaan mencabul wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan di sini, pada 6 Mac lalu.

Tertuduh, Nazarin Romeli, 51, yang berhadapan empat pertuduhan menyatakan faham dan tidak bersalah selepas dibacakan di hadapan Majistret Tan Chew King.

Menurut kertas pertuduhan pertama, tertuduh kira-kira pukul 6.40 petang pada 6 Mac lalu di tapak Bazar Ramadan Lurah Semantan di Temerloh telah menggunakan kekerasan jenayah dengan menyentuh payudara seorang wanita berusia 26 tahun menggunakan lengan dan siku dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Pertuduhan kedua melibatkan mangsa yang sama dengan pertuduhan pertama di lokasi dan masa sama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan melanggar punggung mangsa dengan paha dengan maksud untuk mencabul kehormatan mangsa.

Menurut pertuduhan ketiga kira-kira pukul 6.20 petang pada 10 Mac di tapak Bazar Ramadan Lurah Semantan tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah dengan melanggar bahagian dada seorang wanita berusia 22 tahun menggunakan lengan dan siku dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Dalam pertuduhan keempat pula, tertuduh kira-kira pukul 6.40 petang pada 6 Mac lalu di tapak Bazar Ramadan Lurah Semantan Temerloh telah menggunakan kekerasan jenayah dengan melanggar dada seorang wanita berumur 28 tahun menggunakan lengan dan siku dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Dengan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adriana Azrin manakala tertuduh diwakili peguan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nursyazwani Rosselan.

Dalam prosiding, Adriana Azrin meminta jaminan. RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Bagaimanapun Nursyazwani meminta jaminan minima memandangkan tertuduh yang bekerja kampung dengan pendapatan RM1,000 menyara tiga individu.

Chew King menetapkan jaminan RM14,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 17 April depan bagi sebutan semula kes termasuk lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN