Dua penuntut pondok maut kemalangan - Utusan Malaysia

Dua penuntut pondok maut kemalangan

SEBUAH kereta Perodua Myvi terbabas dan melanggar pokok di Felda Jengka 23 di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di selekoh jalan Felda Jengka 23 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, mangsa yang maut, Mohd. Rahinuddin Ibrahim, 55, dan Abd. Aziz Othman, 73, manakala pemandu Perodua Myvi, Jamaluddin Md. Adam, 74, cedera.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu Jamaluddin yang merupakan seorang guru pondok hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke cerun kanan jalan dan melanggar sebatang pokok.

Jelasnya, ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Jengka selepas menghadiri majlis ilmu di Pondok Haji Baki, Chenor.

“Akibat impak pelanggaran, Mohd. Rahinuddin meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Abd. Aziz yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Temerloh sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Jamaluddin cedera di bahagian dada, kini dirawat di Hospital Jengka dan dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Kim Wai, keadaan jalan licin akibat hujan sebelum kejadian mungkin menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan tersebut.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan turut menjadi punca nahas ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN