KUANTAN: Dua penunggang motosikal maut dalam kejadian kemalangan berasingan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini dalam tempoh kurang 24 jam.
Dalam kejadian pertama kira-kira pukul 5.30 pagi semalam, remaja lelaki, Amirsyah Danial Fahdlansyah, 19, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha Y15 ditunggangnya hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 226.6 arah barat.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur dipercayai gagal mengawal motosikalnya.
Dalam satu lagi kejadian berasingan kira-kira pukul 11 malam tadi, seorang lelaki, Irwan Kamarol Hisham Mohammad Sharani, 42, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 211 arah Kuantan.
Wan Mohd. Zahari berkata, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke tengah jalan sebelum dirempuh sebuah lagi motosikal Yamaha RXZ ditunggang Mohd. Syafiq Izzwan Benam, 32, dari arah belakang.
Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN