JOHOR BAHRU: Seorang wanita dan anak lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan mencuri 76 paket ‘dumpling’ di sebuah pasar raya di Taman Impian Emas, di sini pada Oktober tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Dayang Norhasyimah Abg Omar, 47, dan Nik Zairul Nizam Aidil Adha Nik Hakim, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A. Shaarmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dua beranak berkenaan didakwa mencuri 76 paket ‘dumpling’, iaitu tiga paket makanan laut, empat paket jagung; tiga paket ayam; 23 paket tom yam dan 43 paket sotong di sebuah premis perniagaan pada pukul 1.07 petang, 1 Oktober tahun lalu.
Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala bagi kesalahan kedua boleh dipenjara serta denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik.
Mahkamah menetapkan 17 April depan sebagai tarikh perbicaraan. – UTUSAN