SHAH ALAM: Sebanyak 58 ladang di Selangor disahkan positif jangkitan wabak demam babi Afrika (ASF) dengan 14,000 ekor haiwan itu selesai dilupuskan setakat ini.
Kesemua ladang ternakan babi itu masing-masing 55 di Kuala Langat dan tiga di Sepang.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Veterinar) Selangor, Dr. Hassuzana Khalil berkata, sebanyak 58 daripada 114 ladang dikesan terjangkit ASF dan diberi perintah mengikut Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Akta 647).
Katanya, arahan itu dikeluarkan pihaknya bagi pelupusan sebagai langkah kawalan perebakan penyakit.
“Sehingga kini, Veterinar selesai melupuskan 14,000 ekor babi pelbagai kategori antaranya babi induk, pejantan, anak babi dan anak cerai susu yang dipercayai terjangkit.
“Haiwan itu dilupus secara hapus belas menggunakan gas karbon dioksida dan ditanam di kawasan ladang babi mengikut kaedah ditetapkan,” katanya.
Tambah Hassuzana, prosedur pelupusan babi di ladang yang positif melibatkan kos tinggi dan ramai anggota petugas termasuk Ibu Pejabat Veterinar Putrajaya serta negeri lain.
Jelas beliau, sebanyak 52 ladang babi masih berstatus negatif dan haiwan di premis itu dibenarkan disembelih di rumah sembelih (RS) yang dilesenkan.
“Proses itu dilakukan menerusi permit pemindahan dan perlu mematuhi syarat-syarat yang ketat. Ia antara melibatkan pematuhan kepada penetapan laluan pergerakan kenderaan pengangkut babi yang hanya digunakan ke rumah penyembelihan yang dilesenkan sahaja,” jelasnya.
Tambahnya lagi, ladang babi di Selangor berada kategori tahap tiga kerana tiada tahap biosekuriti yang baik dan kedudukan jarak antara ladang terlalu dekat iaitu 0.5 hingga satu kilometer (km) radius.
“Jangkitan ASF dijangka terus berlaku kerana sehingga kini belum ada vaksin bagi penyakit itu,” katanya.
“Veterinar sedang mengeluarkan perintah di bawah Seksyen 23 Akta Binatang 1953 kepada semua ladang yang positif bagi menjalankan prosedur nyahjangkitan di premis masing-masing,” ujarnya
Penternak turut tidak dibenarkan memasukkan babi baharu ke dalam ladang sehingga situasi jangkitan pulih dan Selangor diisytiharkan bebas dari ASF. – UTUSAN