Deklarasi kendiri di Puspakom bermula hari ini

Deklarasi kendiri di Puspakom bermula hari ini

Deklarasi kendiri
AEDY Fadly Ramli memeriksa sebuah lori ketika meninjau penambahbaikan slot pemeriksaan kenderaan dekat Puspakom, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemilik kenderaan perdagangan boleh memohon untuk membuat deklarasi kendiri di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula hari ini bagi pemeriksaan berkaitan lima perkara yang dikecualikan.

Lima perkara tersebut iaitu tanda badan kenderaan, had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran dan keadaan tempat duduk penumpang bagi pengangkutan awam.

Permohonan tersebut boleh dibuat selepas ia dimasukkan ke dalam borang temu janji Puspakom bagi memudahkan pemilik kenderaan membuat pemeriksaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kemudahan itu tersedia selepas penambahbaikan kecekapan sistem pemeriksaan kenderaan Puspakom dilakukan.

Menurutnya, susulan itu dianggarkan 7,500 kenderaan perdagangan dijangka akan membuat deklarasi kendiri pada setiap hari di Puspakom yang mana kaedah sedemikian dapat menjimatkan masa pemeriksaan.

“Namun, jangan ambil mudah dengan kelonggaran diberikan kerajaan berkaitan lima item ini. Saya pasti, pihak JPJ akan melaksanakan operasi dan mengarahkan pasukan penguatkuasa untuk memerhati dan meneliti lima item itu apabila menjalankan pemeriksaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, berdasarkan rekod sebanyak 70,000 pemilik gagal disebabkan tanda badan kenderaan setahun seterusnya menyebabkan kesemua pemeriksaan gagal.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Kementerian Pengangkutan (MOT) memperkenalkan konsep deklarasi kendiri bagi beberapa item pemeriksaan kenderaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan dalam usaha mengurangkan kesesakan di Puspakom.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook memberitahu, langkah itu bertujuan mempercepatkan proses pemeriksaan dan mengelakkan kegagalan pemeriksaan atas sebab yang tidak kritikal kepada keselamatan jalan raya.

Kata Aedy Fadly, beliau turut mengingatkan pemilik tidak melakukan penipuan ketika pemeriksaan kerana akan berdepan kompaun sebanyak RM300 jika ia dikesan dilakukan bagi satu perkara.

“Jadi, bukan sewenang-wenangnya pemilik kenderaan boleh menipu. Daripada dia pasang itu dengan kos yang minima, lebih baik dia pasang daripada kena tahan kita kat luar.

“Malah, pemeriksaan lima elemen ini juga akan dimasukkan dalam penguatkuasaan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri bermula 24 Mac hingga 8 April ini,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman memberitahu, pengecualian pemeriksaan itu akan menjimatkan masa antara lapan hingga 10 minit bagi satu-satu kenderaan.

“Bermula hari ini, apabila membuat temujanji perlu tanda bersetuju melakukan deklarasi kendiri. Kalau di jalan raya tidak dipatuhi kena kompaun. Justeru, 100 peratus pematuhan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya