PETALING JAYA: Converse MY memperkenalkan inisiatif ‘Creative Exploration’, sebuah aktivasi jenama di bawah kempen global ‘LOVE, CHUCK’ yang bertujuan memberi ruang kepada seniman muda tempatan untuk mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni dan fesyen.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Art Depot, Balai Seni Negara ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara Converse MY, Balai Seni Negara, serta UiTM dan Malaysian Institute of Art (MIA), dalam usaha memperkasakan seni tempatan menerusi platform yang lebih luas.
Sebagai sebahagian daripada kempen ‘LOVE, CHUCK’, aktivasi ini memberikan peluang kepada pelajar UiTM dan MIA untuk menghasilkan karya seni unik menggunakan kasut ‘Chuck Taylor’ sebagai medium utama. Karya-karya ini akan dipamerkan di Balai Seni Negara dari 28 Februari hingga 12 April sebelum dipilih untuk dipamerkan di cawangan utama ‘Converse’ sekitar Lembah Klang.
Ketua Pengajian Seni Reka, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, Dr. Shaliza Mohd Shariff, menyifatkan inisiatif ini sebagai satu peluang berharga bagi pelajar untuk meneroka gabungan seni dan fesyen dalam industri komersial.
“’Creative Exploration’ membuka ruang kepada pelajar untuk mengembangkan bakat mereka dalam seni dan fesyen. Kami berharap usaha ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan,” katanya.
Selain memperkukuh hubungan antara akademik dan industri, kerjasama ini juga mengukuhkan peranan Balai Seni Negara sebagai pusat seni kontemporari, di samping memperlihatkan komitmen UiTM dan MIA dalam melahirkan generasi seniman kreatif yang lebih berdaya saing.