PETALING JAYA: Semua pengangkutan awam di Lembah Klang perlu ditambah baik terlebih dahulu termasuk mengatasi masalah kelewatan jadual sebelum mahu memperkenalkan caj kesesakan untuk menyelesaikan masalah kepadatan jalan raya.
Ketua Pusat Penyelidikan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua, caj kesesakan perlu dirangka secara menyeluruh termasuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan warga kota.
Katanya, tidak dinafikan caj kesesakan menjadi langkah berkesan untuk mengurangkan kesesakan trafik di Kuala Lumpur seperti pernah terbukti di bandar seperti London, Stockholm, dan Singapura, namun perlu seiring pengangkutan awam berkualiti dan efisien.
“Sebelum caj kesesakan dilaksanakan kerajaan perlu memperkukuh pengangkutan awam, menyediakan alternatif murah dan selesa seperti laluan bas ekspres, kemudahan pejalan kaki dan infrastruktur basikal.
“Kerajaan juga perlu melaksanakan inisiatif seperti diskaun parking untuk kenderaan kumpulan (carpool) atau subsidi untuk pengguna pengangkutan awam.
“Jika langkah-langkah ini masih tidak mencukupi, caj kesesakan boleh dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir. Namun, pelaksanaannya perlu adil dan inklusif mengguna hasil kutipan untuk membiayai pembangunan pengangkutan awam dan infrastruktur hijau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, mekanisme caj kesesakan di Kuala Lumpur dijangka dapat mengurangkan kesibukan jalan raya sekitar 20 peratus di samping mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan warga kota.
Beliau berkata, namun kajian mekanisme itu masih di peringkat awal oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Dalam pada itu, pakar keselamatan jalan raya, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, cadangan membina lebih banyak jalan atau lebuh raya bertingkat bukan penyelesaian terbaik untuk mengurangkan kesesakan jalan.
Beliau justeru melihat caj kesesakan dilihat sebagai langkah berkesan untuk menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di kawasan bandar terutama Kuala Lumpur.
Beliau berkata, penyelesaian terbaik adalah mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang masuk ke kawasan bandar.-UTUSAN.