Cadangan bina Hospital Tuanku Ja'afar 2 dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri

Cadangan bina Hospital Tuanku Ja’afar 2 dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan hadirin pada majlis berbuka puasa di Padang Serbaguna Tampin hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, isu mengenai keperluan membina Hospital Tuanku Ja’afar 2 di Seremban akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan.

Perdana Menteri berkata, cadangan mengenainya akan dibawa oleh Ketua Setiausaha Negara agar ia dapat ditelaah dan dipercepatkan.

Jelasnya, perkara tersebut merupakan salah satu daripada 10 projek keutamaan di Negeri Sembilan yang dinilai ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan di Majlis Daerah Tampin di sini petang tadi.

“Salah satu perkara yang menarik perhatian saya ialah keperluan segera dan mendesak untuk membina Hospital Tuanku Ja’afar 2 di Seremban bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat. 

“Justeru saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk membawa cadangan ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan agar ia dapat ditelaah dan dipercepatkan,” kata beliau di sini.

Perdana Menteri menjelaskan, mesyuarat yang turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu adalah berfungsi sebagai wahana untuk menilai pelbagai projek pembangunan negeri serta perencanaan jangka panjang yang menggarap aspek infrastruktur asas.

Ia termasuklah seperti pendidikan, kesihatan, jalan raya, tebatan banjir dan pengurusannya, alam sekitar dan sumber air.

“Saya telah meminta Kementerian Ekonomi untuk memberikan perhatian khusus kepada 10 cadangan projek keutamaan di Negeri Sembilan khususnya berkaitan projek tebatan banjir,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, penekanan perlu diberikan bahawa setiap projek yang direncana perlu dilaksanakan dengan sinergi yang kukuh antara kementerian dan agensi berkaitan. 

“Kerenah birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaan projek mesti diminimumkan agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.

“Saya yakin dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, projek-projek ini akan memberi limpahan manfaat kepada warga Negeri Sembilan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” tambahnya.

Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Perdana Menteri turut menyertai 1,000 masyarakat di daerah ini pada majlis berbuka puasa di Padang Serbaguna Tampin di sini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya