ISKANDAR PUTERI: Buriram United mengecewakan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 dengan jaringan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan sekadar menyamai rekod yang dilakar pada saingan ACLE dua tahun lalu.
Sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung dengan penuh mendebarkan apabila seawal saat ke-47, penyerang JDT, Bergson Da Silva berjaya menembusi gawang lawan, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia berada pada kedudukan ofsaid.
Buriram United turut membalas asakan dan berjaya melakukan percubaan menerusi Guilherme Bissoli pada minit ke-7, namun berjaya ditepis penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre Dorronsoro.
Tuan rumah sekali lagi berpeluang mendapatkan jaringan pada minit ke-28, namun percubaan Afiq Fazail sekadar menggegar gawang.
Kedua-dua pasukan terus mengatur gerakan untuk mendapatkan jaringan, namun kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat 45 minit perlawanan separuh pertama.
Bersambung babak kedua, Buriram United lebih agresif mendapatkan gol dan usaha mereka berhasil apabila tendangan lencong penyerang, Suphanat Mueanta gagal ditepis penjaga gol tuan rumah menjadikan kedudukan 1-0.
JDT yang tersentak dengan jaringan itu terus mengasak kubu lawan menerusi beberapa percubaan berbahaya, namun barisan pertahanan pelawat kekal bertahan.
Harimau Selatan berpeluang mendapatkan jaringan apabila diberikan tendangan percuma, namun sepakan Heberty De Andrade pada minit ke-85 terkena benteng pertahanan lawan.
Tuan rumah sekali lagi mendapat peluang akhir untuk menyamakan kedudukan apabila Jorge Lorenzo Rojas atau lebih dikenali sebagai Obregon berjaya menyempurnakan hantaran Arif Aiman, namun VAR sekali lagi menjadi halangan bagi jaringan itu.
Pusingan suku akhir ACLE bakal berlangsung di Arab Saudi pada 25 April hingga 4 Mei ini dan juara akan layak ke Kejohanan Piala Antara Benua FIFA 2025 dan Piala Dunia Kelab FIFA serta layak secara automatik dalam ACLE edisi tahun depan. – UTUSAN