BS Freshmart Jerantut jual 500 ekor ayam segar, ikan bawal emas pada harga RM1 seekor - Utusan Malaysia

BS Freshmart Jerantut jual 500 ekor ayam segar, ikan bawal emas pada harga RM1 seekor

SIM Chon Siang (kiri) menunjukkan ayam yang dijual RM1 seekor di Pasar Raya BS Freshmart di Bandar Baru Jerantut di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sebanyak 500 ekor ayam segar dan ikan bawal emas yang dijual pada harga RM1 seekor habis dalam tempoh kira-kira 10 minit sempena pembukaan Pasaraya BS Freshmart di Bandar Baru Jerantut di sini.

Pengarah Urusan BS Freshmart, Mohammad Rasul Razuan berkata, jualan ayam dan ikan bawal emas pada harga RM1 seekor itu akan dibuat selama tiga hari sempena pembukaan pasar raya tersebut.

“Kami menawarkan jualan pada harga RM1 untuk 500 ekor ayam untuk tempoh tiga hari sahaja dan selepas habis pelanggan hanya boleh mendapatkan ayam ini dengan harga RM5.99 seekor sehingga menjelang sambutan hari raya.

“Selain ayam, pasar raya ini juga turut menjual 500 ekor ikan bawal emas dengan harga RM1 juga untuk tempoh tiga hari dan nampaknya hari ini juga habis dalam tempoh yang sama,” katanya di BS Freshmart Bandar Baru Jerantut hari ini.

Menurut Mohammad Rasol, pengurusan pasar raya itu juga akan menimbang cadangan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang supaya menjual 2,000 ekor ayam sehari pada harga RM1 dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.

“Kita sedia menimbang cadangan exco berkenaan berasaskan tanggungjawab sosial korporat pengurusan pasar raya ini untuk membantu meringankan beban pengunjung berbelanja menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Seorang pengunjung sebuah taman perumahan di sini, Aishah Rahman, 50, berkata, dia tiba di hadapan pasar raya itu sejak pukul 7.45 pagi dan mendapati pelanggan lain sudah ramai beratur.

“Saya mendapat tahu, sempena pembukaan pasar raya ada menawarkan jualan ayam dengan harga RM1. Jadi, saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pembelian harga murah ini.

“Mujurlah ketika berebut-rebut, saya sempat mencapai seekor ayam dan berasa puas hati dapat berbelanja ayam murah untuk keperluan masakan juadah berbuka puasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN