SEREMBAN: Beras tempatan bersubsidi di Negeri Sembilan buat masa ini hanya akan dijual menerusi Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bagaimanapun berkata, menerusi program itu ketika ini hanya mempunyai beras tempatan dengan kampit lima kilogram.
“Oleh itu orang ramai boleh membeli dua kampit beras lima kilogram dengan harga subsidi yang diumumkan.
“Sekarang Negeri Sembilan menerima stok beras tempatan sebanyak 48 tan setiap minggu bersamaan 2,400 kampit (beras lima kilogram),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam
Tambah beliau, kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan bekalan 55 tan lagi beras tempatan bagi menampung keperluan masyarakat sempena perayaan tak lama lagi.
“Di Nismilan Prihatin, bekalan beras tempatan ini masih ada dan contohnya hari ini jualan dibuat di lapan lokaliti di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Kita agihkan sama banyak mengikut lokaliti.
“Dalam setiap lokaliti tu kita biasa bagi 400 ke 500 beg. Insya-Allah, di masa akan datang kita cuba tingkatkan lagi stok,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan penjualan sebanyak 24 juta kampit Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) dalam pasaran di seluruh Semenanjung mulai 1 Mac.
Sementara itu, hasil tinjauan ke premis jualan beras di beberapa pasar raya mendapati rata-ratanya tidak menjual beras tempatan dan hanya menjual beras import.-UTUSAN.