KOTA BHARU: Bekalan beras putih tempatan sudah mula memasuki pasaran di seluruh negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, kerajaan masih mencari jalan penyelesaian bagi memastikan masalah bekalan beras dapat diatasi secara berterusan.
“Beras putih tempatan sudah ada di pasaran dan setakat ini bekalannya terkawal serta dibekalkan mengikut jadual ditetapkan.
“Masalah makanan di dalam dunia ini tidak akan selesai sehingga kiamat, tetapi kita akan mencari jalan penyelesaian buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Menteri Bersama Warga KPKM Inc. dan Santuni Dhuafa @ Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sini sebentar tadi.
Media sebelum ini melaporkan, orang ramai boleh mula mendapatkan beras putih tempatan bersubsidi pada harga RM26 bagi 10 kilogram (kg) bermula 1 Mac lalu.
Bekalan beras itu akan berada di pasaran sedia ada di seluruh Semenanjung dan turut dipasarkan di Program Jualan Rahmah Madani.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd. berkata, sebanyak 24 juta kampit beras akan berada di pasaran Semenanjung dalam tempoh enam bulan bermula Mac ini.-UTUSAN