PETALING JAYA: Beras putih tempatan (BPT) bersubsidi mula diedarkan di beberapa negeri bermula semalam selepas Perdana Menteri mengarahkan penyelesaian segera terhadap masalah itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan yang sedang menerima perhatian rakyat.
Di Kangar, Perlis, sebanyak 30 tan metrik atau 3,000 kampit beras putih tempatan bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) mula dibekalkan di negeri ini.
Beras tersebut yang mula dibekalkan bermula Sabtu lalu diagihkan kepada kira-kira 10 kedai sekitar Perlis di kawasan Parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, bekalan BPT itu akan dibawa masuk dari masa ke semasa bergantung kepada permintaan.
Katanya, kekerapan jumlah bekalan dibawa masuk dalam masa sebulan juga masih belum dipastikan buat masa ini dan ia akan dipantau oleh Kawal Selia Padi dan Beras negeri.
“Kalau kita terus bawa masuk BPT dengan kadar banyak, takut nanti apabila tidak laku, ia akan rosak pula, jadi kita lihat dahulu pasaran bagaimana,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan bekalan BPT di sebuah pasar raya di Jalan Behor Pulai, di sini semalam.
Razali berkata, BPT dibawa masuk untuk dipasarkan di negeri ini adalah merupakan bekalan daripada pengilang-pengilang di sekitar Kedah.
“Kita juga harapkan orang ramai tidak membuat pembelian panik dan mengehadkan satu keluarga hanya dua kampit sahaja bagi membolehkan lebih banyak pihak berpeluang mendapatkan BPT ini,” katanya.
Di Terengganu, orang ramai lega apabila bekalan beras tersebut mula diedarkan secara berperingkat di negeri itu bermula semalam.
Peringkat pertama, penghantaran beras subsidi dari Jasmine dilakukan diikuti penghantaran daripada Cap Rambutan dan Cap Saga pada Selasa.
Tinjauan di sebuah kedai runcit di Merbau Patah di sini mendapati, sebanyak 50 kampit beras dijual di premis tersebut sejak semalam.
Seorang surirumah, Halimatussa’diah Abdul Aziz, 45 berkata, dia bersyukur dapat membeli dua kampit beras yang berharga RM26 setiap beg untuk digunakan pada Ramadan ini.
“Saya harap bekalan beras ini tidak akan putus di pasaran pada masa akan datang. Kasihan rakyat kalau beras ini tiada di pasaran kerana harga beras import mahal dan membebankan pengguna,” katanya.
Seorang kakitangan swasta, Mohamad Amirul Azlan Hanafi, 35, pula berharap pihak berkuasa terus memantau penjualan beras itu agar dapat dinikmati rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
“Memang sebelum ini rasa terbeban kalau beli beras import, harganya mahal berbanding BPT yang ada subsidi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Negeri Kawalselia Padi dan Beras Terengganu, Ahmad Suffian Zulkipeli berkata, setakat ini Q Mart menjadi premis pertama yang menerima bekalan tersebut.
“Q Mart telah membuat pesanan belian (PO) dan proses penghantaran beras itu bermula semalam manakala peruncit lain seperti pasar raya Giant dan Mydin masih dalam proses permohonan.
“Pemborong dari luar seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor mengambil masa sedikit untuk penghantaran kerana ada yang masih bercuti.
“Pemantauan rapi dilakukan bagi memastikan bekalan 24 juta pek beras subsidi sampai ke seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Terengganu,” katanya.
Sementara itu, lain-lain negeri yang masih belum menerima bekalan BPT dijangka akan menerima bekalan tersebut bermula minggu ini dan minggu depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan keluhan orang ramai untuk mendapatkan BPT yang dijual pada harga RM26 bagi kampit 10 kilogram tidak kesampaian apabila tiada pasar raya dan kedai runcit yang menjual beras tersebut.
Keadaan itu menimbulkan tanda tanya terutama selepas kerajaan mengumumkan 24 juta kampit beras untuk 400,000 keluarga miskin tersebut sepatutnya dijual mulai 1 Mac lalu. – UTUSAN