Belanja RM100 di bazar Aidilfitri Dataran Sekilau boleh menang kereta, motosikal - Utusan Malaysia

Belanja RM100 di bazar Aidilfitri Dataran Sekilau boleh menang kereta, motosikal

SHAFIEQ Johari (kanan) bersama Presiden Persatuan Media Pahang, Fazli Ahmad melakukan tinjauan di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengunjung Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di sini berpeluang memenangi sebuah kereta jenis Perodua Axia bernilai RM24,000 dengan hanya berbelanja serendah RM100 di bazar terbabit.

Penganjur bazar daripada Mitashamika Resources, Shafieq Johari berkata, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah motosikal, barangan elektrik dan pelbagai hadiah menarik yang keseluruhannya berjumlah RM40,000.

Beliau berkata, setiap satu hadiah pihaknya akan mencabut satu nama pada setiap hari Sabtu yang terdiri daripada salah seorang daripada sasaran 10,000 ke 15,000 pengunjungnya sebagai penghargaan kepada mereka.

“Hadiah utama yang kita tawarkan adalah sebuah kereta Perodua Axia bernilai kira-kira RM24,000 yang akan diadakan cabutan bertuah pada hari Sabtu minggu terakhir Ramadan.

“Ini kelainan yang kita buat di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Shafieq berkata, sebanyak 147 gerai jualan disediakan pada bazar Aidilfitri kali ini membabitkan 107 khemah putih dan 40 biru.

“Gerai-gerai jualan terbabit menawarkan pelbagai produk kelengkapan raya termasuk pakaian, kasut, baju tradisional, tudung, kosmetik, karpet, bantal, kain, langsir dan juga makanan kering,” katanya.

Beliau menjelaskan, bazar Aidilfitri dikendalikan Mitashamika Resources akan tampil dengan konsep sistematik yang pastinya memberikan keselesaan kepada pengunjung dan peniaga.

“Pengunjung boleh datang awal untuk berbuka puasa bersama keluarga di Dataran Sekilau kerana di sini mempunyai gerai-gerai makanan dengan pelbagai pilihan menu seperti aneka sup, makanan panas, ayam goreng dan nasi kandar.

“Kemudahan tandas juga disediakan di sini. Apa yang kita utamakan keselesaan pengunjung untuk membeli kelengkapan raya, keselesaan anda kepuasan kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN