KOTA BHARU: Bekas pengamal media di negeri ini sebak selepas diraikan menerusi Program Tautan Kasih Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dengan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di sini hari ini.
Seramai tujuh bekas wartawan dari pelbagai angesi di negeri ini menerima sumbangan barangan keperluan dan sedikit wang tunai.
Seorang penerima Ismail Muhammad, 56, berkata, program tersebut amat bermakna buat dirinya selain dapat bertemu dengan rakan-rakan lama yang pernah berkhidmat bersama satu masa dahulu.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada pihak KPDN Kelantan dan Kemudi atas keprihatinan menyantuni serta masih mengingati bekas wartawan di negeri ini.
“Program itu amat besar dan penuh pengertian bagi kami, saya harap ia dapat diteruskan pada masa hadapan. Saya sendiri masih aktif dengan menulis walaupun sudah bersara secara rasmi dengan organisasi media arus perdana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Azman memberitahu, ini merupakan program julung kali pihaknya menyantuni wartawan dengan kerjasama Kemudi.
Katanya, beliau berharap sumbangan ini dapat memberikan keceriaan kepada mereka menyambut Aidilfitri tahun ini.-UTUSAN