PADANG BESAR: Curiga pihak berkuasa terhadap beg hitam yang ditinggalkan di laluan mesin pengimbas unit dagangan kereta api di Stesen Keretapi Padang Besar di sini terjawab apabila pemeriksaan mendapati ia mengandungi dadah jenis ganja seberat 3.207 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.
Ia dikesan melalui pemeriksaan pada pukul 4.45 petang, 9 Mac lalu apabila didapati sengaja ditinggalkan
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri, Ismail Hashim berkata, pemeriksaan ke atas sebuah beg pakaian berwarna hitam mengandungi sehelai selimut bersama satu bungkusan plastik berwarna hitam.
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan itu mendapati terdapat 23 paket plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis.
“Berat keseluruhan dadah itu dianggarkan sebanyak 13.207 kilogram dan bernilai RM1.32 juta,” katanya di sini semalam.
Ismail berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan meninggalkan beg di laluan mesin pengimbas Unit Dagangan Keretapi untuk mengelakkan daripada pemeriksaan.
Katanya, kanabis adalah merupakan dadah disenaraikan di bawah Bahagian 1, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berasingan, Ismail berkata, JKDM Perlis turut menyita sebanyak 4,597 unit tayar motosikal yang dipercayai tidak mempunyai permit import menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang berada di atas sebuah lori treler jenis Volvo.
Katanya, siasatan awal ke atas Borang Kastam No. 1 (K1) yang diserahkan kepada pemandu lori mendapati bahawa pengimport bagi dagangan tersebut adalah beralamat di Kuala Lumpur.
“Menerusi siasatan awal, tiada sebarang permit import dikemukakan oleh mana-mana pihak dan semua dagangan yang disita berjumlah 4,597 unit dianggarkan bernilai RM223,265 serta melibatkan cukai sebanyak RM78,142.75.
“Turut disita adalah lori bersama kontena yang nilai keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM155,000. Pemandu lori dan mekanik syarikat turut ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes ini,” katanya. -UTUSAN