Bazar Aidilfitri: Meriah tapi tak laku

Bazar Aidilfitri: Meriah tapi tak laku

TINJAUN Utusan Malaysia di beberapa bazar Aidilfitri di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Jalan Chow Kit dan Masjid India, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bazar Aidilfitri di sekitar ibu negara kembali meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung, namun para peniaga berdepan cabaran apabila ramai yang sekadar ‘cuci mata’ dan menikmati suasana tanpa membuat pembelian.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa bazar Aidilfitri di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Jalan Chow Kit dan Masjid India mendapati, suasana tetap gamat dengan lampu hiasan, muzik raya serta orang ramai yang berjalan dari satu gerai ke gerai lain.

Kebanyakan gerai pakaian dan kelengkapan raya kelihatan kurang sesak dengan pelanggan, walaupun bazar masih penuh dengan pengunjung yang sekadar menikmati suasana.

Selain mengambil gambar untuk dimuat naik ke media sosial, ada juga pengunjung yang datang sekadar untuk meninjau harga tanpa membuat sebarang pembelian.

Terdapat peniaga yang cuba menarik pelanggan dengan menawarkan poto­ngan harga dan promosi istimewa, tetapi jualan yang diterima masih sederhana.

Seorang pengunjung, Muhammad Izzuddin, 28, mengakui kunjungannya bukanlah untuk membeli-belah, sebaliknya sekadar mahu merasai kemeriahan persiapan sambutan Aidilfitri.

Katanya, suasana yang penuh warna menarik orang ramai untuk mengunju­ngi kawasan berkenaan namun keadaan ekonomi semasa membuatkan mereka lebih berhati-hati dalam berbelanja.

“Saya memang suka ke bazar setiap tahun sebab suasananya meriah dan membangkitkan lagi mood perayaan. Tapi kali ni hanya untuk bersiar-siar, bukan membeli.

“Kalau dulu setiap kali datang mesti borong baju raya, tudung, kasut, semuanya lengkap. Sekarang datang lebih kepada menikmati suasana, ambil gambar dan tengok-tengok barang. Nak beli memang kena fikir bajet dulu, apatah lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Mohd. Zailan Mokhtar, 58, meluahkan kekecewaannya terhadap trend pembelian yang semakin merosot berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana bazar Aidilfitri lazimnya menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan kelengkapan raya seperti pakaian, kasut dan juadah tradisional.

Katanya, kebanyakan gerai jualan pakaian kurang sesak dengan pelanggan meskipun bazar masih dipenuhi pengunjung yang sekadar menikmati suasana.

Justeru itu, katanya, keadaan itu menyukarkan para peniaga untuk mencapai sasaran jualan.

“Meriah tu memang meriah, tapi poket orang mungkin tak begitu ‘meriah’. Dulu kalau bersesak macam ni, confirm barang laku keras.

“Sekarang ramai yang datang tengok-tengok, pegang sikit, lepas tu cakap ‘cantiklah’, tapi tak beli pun,” keluhnya.

Pembantu jualan, Emely Nasibah, 62, pula mendakwa, perniagaan di Jalan TAR semakin merosot sejak pandemik Covid-19 dan situasi itu masih berlarutan sehingga kini.

Katanya, jumlah pengunjung tidak menjamin peningkatan jualan, malah hasil yang diperoleh setakat ini belum mencapai 10 peratus daripada sasaran.

“Dulu, sibuk melayan pe­langgan sampai tak sempat kira duit. Duit jualan terus masuk plastik sebab memang tak putus-putus orang membeli. Sekarang, kira dua, tiga kali pun tetap sikit.

“Orangnya ramai, tapi tak ada yang nak membeli. Harga pun dah murah, stok pula banyak. Susah nak habiskan stok kalau keadaan begini berlarutan,” katanya.

Seorang penjawat awam yang enggan dikenali pula berkata, dia memperuntukkan bajet sekitar RM600 untuk membeli pakaian raya bagi seisi keluarga.

Katanya, harga pakaian di kedai fizikal yang semakin meningkat menyebabkan dia memilih untuk membeli secara dalam talian manakala kunjunga ke bazar hanya sekadar untuk merasai suasana.

“Saya lebih selesa beli online sebab boleh bandingkan harga dan cari yang lebih berpatutan. Kalau beli di kedai, takut bajet lari sebab harga sekarang makin mahal.

“Datang bazar lebih kepada nak jalan-jalan dan tengok kemeriahan. Seronok bila dapat rasa suasana raya, walaupun tak membeli,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya