KANGAR: Penganjuran bazar Aidilfitri dilihat masih relevan disebalik orang ramai mula beralih arah membeli kelengkapan raya secara dalam talian.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, hal demikian terbukti apabila pihaknya setakat ini sudah menerima kira-kira 10 permohonan mengadakan bazar Aidilfitri di sekitar negeri ini.
Katanya, meskipun masih di awal Ramadan namun permohonan terus meningkat.
Ujar beliau, bazar Aidilfitri sebenarnya masih relevan kerana mempunyai nostalgia tersendiri setiap kali menjelangnya hari raya dan para peniaga juga perlu mengetengahkan kreativiti tersendiri dalam menarik pelanggan.
“Memang banyak permohonan bazar Aidilfitri yang kami terima, bagaimanapun kami masih lihat daripada segi kesesuaiannya.
“Ada beberapa tempat (bazar Aidilfitri) di Perlis antaranya Taman Sena Indah, Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar Jaya dan beberapa kawasan sekitar Arau dan Padang Besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, peralihan selera orang ramai membeli kelengkapan Aidilfitri secara dalam talian dilihat ‘membunuh’ bazar Aidilfitri yang sebelum ini menjadi tumpuan masyarakat menjelang musim perayaan yang akan disambut tidak lama lagi.
Keadaan ini berbeza dengan suasana lima atau 10 tahun lalu, di mana bazar-bazar Aidilfitri dipenuhi dengan pengunjung yang berpusu -pusu mencari kelengkapan raya menjelang hari kemenangan umat Islam itu.
Bazar-bazar Aidilfitri yang dianjurkan, kelihatan semakin hilang seri apabila tidak ramai pengunjung malah peniaga mengeluh hasil jualan semakin perlahan meskipun semakin hampir dengan Aidilfitri.
Malah, dalam tinjauan rawak ke atas 10 orang, lapan daripadanya mengesahkan membeli pakaian dan kelengkapan Aidilfitri secara dalam talian, khususnya menggunakan TikTok.
Affendi Rajini berkata, bazar Aidilfitri sebenarnya lebih dekat dengan orang ramai bagi mencari kelengkapan raya selain ingin merasai suasana lebaran lebih meriah.-UTUSAN.