KUANTAN: Biarpun pelbagai cabaran perniagaan terpaksa ditempuh khususnya saingan peniaga secara dalam talian, namun ia tidak mematahkan semangat pengurusan Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di sini untuk menguruskan bazar itu dengan baik.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuantan, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, beliau berbangga melihat pasukan Mitashamika Resources yang majoritinya anak muda mengendalikan dan menguruskan bazar Aidilfitri berkenaan.
“Melihat kepada pasukan Mitashamika, majoriti anak muda yang menguruskan daripada segi kawalan lalu lintas, keselamatan, petugas media, dan urus tadbir yang saya kira sangat baik.
“Saya berbangga melihat kepada pengurusan bazar ini yang dikendalikan dan diketuai anak muda yang baru berusia 31 tahun,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada majlis Cabutan Bertuah Makmur di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di sini.

Cabutan bertuah setiap minggu merupakan kelainan yang dibuat khas oleh Mitashamika Resources untuk menghargai pengunjung yang membuat pembelian di bazar Aidilfitri berkenaan.
Pada cabutan minggu ketiga semalam, lima hadiah disediakan buat penunjung bertuah iaitu sebuah motosikal, skuter elektrik, ketuhar gelombang mikro dan dua hamper makanan.
Mengulas lanjut, Nik Mohd. Ridzuan berkata, beliau turut berkesempatan singgah ke gerai-gerai di bazar Aidilfitri tersebut bertanya khabar peniaga yang masing-masing berpuas hati dengan jualan selama 21 hari mereka berada di situ.
“Ia sudah menjadi tradisi kepada warga Kuantan selain bazar stadium dan Taman Kerang yang sering dikunjungi. Tetapi melihat kepada pihak pengurusan bazar Aidilfitri Dataran Sekilau ini yang sering membuat penambahbaikan demi keselesaan pengunjung, ia wajar diberikan pujian.
“Penganjur difahamkan mengurangkan hampir 40 khemah kerana ingin memberikan lebih ruang dan keselesaan buat pengunjung, ia suatu yang cukup baik dan wajar dicontohi,” katanya.
Penganjur, Shafieq Johari dilaporkan berkata, sebanyak 147 gerai jualan disediakan pada penganjuran bazar Aidilfitri Dataran Sekilau tahun ini membabitkan 107 khemah putih dan 40 biru.
Gerai-gerai jualan terbabit menawarkan pelbagai produk kelengkapan raya termasuk pakaian, kasut, baju tradisional, tudung, kosmetik, karpet, bantal, kain, langsir dan juga makanan kering.
Untuk Cabutan Bertuah Makmur, sebanyak RM40,000 diperuntukkan oleh Mitashamika Resources untuk menyediakan pelbagai hadiah menarik dengan hadiah utama kereta jenis Perodua Axia bernilai RM24,000. – UTUSAN