PETALING JAYA: Laluan motosikal yang disediakan kerajaan sejak bertahun lamanya untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya kini sudah bertukar menjadi ‘mimpi ngeri’ bagi penunggang kerana ia berisiko untuk berlakunya nahas malah menjadi mangsa jenayah.
Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), penyediaan laluan motosikal memang terbukti berkesan dengan mampu mengurangkan kadar kemalangan sebanyak 39 peratus.
Bagaimanapun, realitinya laluan tersebut bukan pilihan utama penunggang motosikal disebabkan beberapa faktor yang menjadikannya hanya pilihan terakhir atau kerana terpaksa.
Manakan tidak, jalan yang memisahkan motosikal dengan kereta dan kenderaan berat lain itu tidak diselenggara dengan baik, selain terdapatnya kes-kes kemalangan yang berlaku menyebabkan penunggang lebih memilih jalan utama untuk dilalui.
Kemalangan di laluan motosikal meningkat tiga kali ganda
Perkara ini dibuktikan melalui pendedahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bahawa kes kemalangan jalan raya yang berlaku di lorong atau laluan motosikal di negara ini mencatatkan peningkatan hampir tiga kali ganda pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Sebanyak 79 kes kemalangan disiasat pada tahun lalu iaitu jauh lebih tinggi berbanding 23 kes yang direkodkan pada 2023.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar kemalangan melibatkan laluan motosikal yang hanya dibina di beberapa negeri termasuk di ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang.
“Laluan khas itu hanya digunapakai di jalan raya dan lebuh raya tertentu namun masih mencatatkan kadar kemalangan yang tinggi.
“Terdapat penurunan kadar kemalangan semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2021, dengan hanya 10 kes direkodkan. Namun, angka ini kembali meningkat pada tahun 2023 dengan 15 kes sebelum melonjak drastik pada tahun ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Penunggang bimbang kemalangan, jadi mangsa jenayah
Tinjauan akhbar ini di beberapa laluan motosikal utama iaitu di Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menemui beberapa masalah yang dipercayai menjadi punca penunggang memilih laluan utama.
Antaranya adalah jalan yang berpasir, berlubang, beralun dan sempit yang menyebabkan risiko untuk kemalangan meningkat.
Malah, selain enggan menggunakan laluan motosikal disebabkan ketiadaan lampu jalan, penunggang juga merasakan laluan motosikal terlalu mengelirukan hingga menyebabkan mereka tersesat sekali gus memanjangkan tempoh perjalanan.
Lebih mengejutkan lagi terdapat laluan motosikal yang terlalu terpisah dari laluan utama atau tersembunyi hingga menyebabkan penunggang bimbang akan wujudnya jerangkap samar dan peragut terutama di waktu malam.
Pekerja binaan, Mohd. Ismail, 45, berkata, dirinya hanya melalui laluan motosikal yang sudah menjadi kebiasaan untuknya sahaja.
Ini kerana, katanya, dia bimbang akan risiko yang ada di laluan-laluan motosikal yang tidak pernah dilaluinya.
“Memang sebolehnya saya tidak menggunakan laluan motosikal, hanya laluan yang sudah jadi kebiasaan sahaja yang saya akan lalu. Saya selalu dengar orang cakap pasal ada dawai dekat terowong motosikal dan sebagainya.
“Kalau saya tidak bernasib baik, mungkin saya pula mangsa sebab memang tidak tahu jalan yang kita tidak biasa lalu itu macam mana, tambahan pula kalau malam, memang tidak nampak apa-apa di laluan tertentu, hanya harapkan lampu daripada motosikal sahaja,” katanya.

Sependapat dengannya, pekerja p-hailing, Arif Aiman Ariffin, 19, berkata, dirinya lebih selesa menggunakan laluan utama berbanding laluan motosikal kerana baginya lebih mudah dan selamat.
“Bagi saya, laluan utama lebih selamat untuk digunakan berbanding laluan motosikal sebab laluan itu penyelenggaraannya dijaga dengan baik. Kalau hendak cakap tentang risiko pun,saya rasa laluan motosikal lebih berisiko.
“Ini kerana tidak semua laluan motosikal yang berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan, ada yang sangat teruk kerana berlubang, berpasir dan sebagainya.
“Saya juga bimbang dengan orang yang menjadikan laluan motosikal yang tersorok untuk memeras ugut terutama terhadap penunggang sewaktu malam yang tidak ada orang lain lalu. Jadi, waktu itu lebih baik guna laluan utama sebab ketika itu pun tidak banyak kenderaan lain,” katanya.
Pekerja swasta, Azmi Nor, 54, pula berkata, dia tidak gemar menggunakan laluan motosikal kerana laluannya sempit menyukarkan untuk memotong penunggang lain terutama pada waktu puncak iaitu ketika pergi dan pulang dari tempat kerja.
“Kalau waktu puncak, memang kadang-kadang terpaksa menggunakan laluan motosikal kerana laluan utama sudah penuh dengan kereta tetapi laluan motosikal ini ada yang sempit, jadi susah untuk menunggang.
“Malah, saya jika hujan memang tidak guna laluan motosikal sebab banyak kawasan yang mempunyai takungan air jadi apabila lalu kita tak sedar ada lubang, kalau dalam memang akan jatuh,” katanya.
Tidak diselenggara dengan baik
Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Ishak pula berkata, laluan motosikal di Malaysia dikategorikan kepada dua jenis iaitu bukan eksklusif dan laluan motosikal eksklusif.
Menurutnya, hasil kajian MIROS di laluan motosikal bukan eksklusif yang dijalankan di beberapa jalan Persekutuan mendapati penunggang kurang menggunakan laluan motosikal kerana laluan tidak rata, rosak atau terdapat sepihan objek di jalan seperti pasir dan batu kecil.
“Faktor utama penunggang kurang menggunakan laluan motosikal eksklusif pula ialah laluan tidak berterusan akibat halangan seperti kerja pembinaan dan terdapat kawasan yang kerap dinaiki air banjir,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Siti Zaharah menjelaskan bahawa laluan motosikal yang tidak diselenggara berisiko mengalami kerosakan seperti berlubang, retak, atau tidak rata, manakala sistem perparitan yang lemah boleh menyebabkan air bertakung dan menjadikan laluan licin.
Beliau menambah, kehadiran objek yang terlalu dekat dengan lorong motosikal turut meningkatkan risiko pelanggaran, yang boleh mengakibatkan kemalangan dan mencederakan penunggang.
“Laluan yang kurang pencahayaan pada waktu malam menyukarkan penunggang melihat jalan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan. Pencahayaan yang mencukupi bukan sahaja meningkatkan keselamatan tetapi juga mengurangkan risiko jenayah serta memberi rasa lebih selamat kepada pengguna.
“Selain itu, kekurangan penyelenggaraan berkala, seperti pembersihan serpihan atau lopak air, boleh menjadikan laluan motosikal tidak selamat untuk digunakan,” katanya.

Tambah baik laluan tingkatkan penggunaan
Oleh itu, Siti Zaharah berkata, pihak MIROS mencadangkan beberapa langkah untuk meningkatkan kadar penggunaan laluan motosikal di Malaysia.
Beliau berkata, penyelenggaraan infrastruktur secara berkala perlu dilakukan, termasuk membaiki permukaan jalan, membersihkan kekotoran seperti pasir dan batu kecil serta menyelenggara lampu jalan dan papan tanda bagi meningkatkan keyakinan dan keselesaan penunggang untuk menggunakan laluan itu.
“Selain itu, perlu dilakukan penguatkuasaan undang-undang yang ketat untuk memastikan laluan motosikal digunakan dengan betul. Tindakan perlu diambil terhadap kenderaan lain yang menggunakan laluan motosikal bukan eksklusif.
“Kesedaran kepentingan laluan motosikal perlu dipertingkatkan melalui kempen pendidikan dan publisiti berterusan, dengan menyalurkan maklumat mengenai keselamatan, keselesaan, dan lokasi laluan kepada semua pengguna jalan raya,” katanya.-UTUSAN.