SHAH ALAM: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Beliau menerima watikah pelantikan melalui Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) daripada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin.
Shahrin berkata, Azam sebagai ketua dalam SPRM berpengalaman luas dalam bidang penyiasatan dan forensik khususnya rasuah atau jenayah kewangan lain.
Menurutnya, pelantikan tersebut juga merupakan hasil kerjasama strategik antara Bahagian Analisa Kewangan (BAK) SPRM dan ARI.
“Kerjasama itu bertujuan untuk memperkukuh penyelidikan dalam bidang pencegahan jenayah kewangan, meningkatkan keberkesanan tadbir urus korporat, serta memperluas advokasi integriti dalam sektor kewangan dan perakaunan di Malaysia.
“Melalui pelantikan itu, ARI dapat memperkasa penyelidikan dalam bidang jenayah kewangan dengan menyediakan pandangan dan analisis mendalam terhadap trend serta kelemahan dalam sistem kawal selia boleh diperbaiki.
“Selain itu, ia dapat meningkatkan keberkesanan penyelidikan yang menilai kaedah pemantauan dan intervensi terhadap kesalahan kewangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Profesor Adjung kepada Azam, hari ini.
Sementara itu, Azam ketika ditemui memberitahu beliau menghargai peluang yang diberikan oleh UiTM untuk menumbang kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) seperti berkongsi pengetahuan kepada universiti secara keseluruhan.
“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk memberi sumbangan kepada UiTM secara keseluruhannya dan juga pada spesifiknya kepada isu-isu berkaitan dengan integriti, jenayah kewangan dan sebagainya selain kaedah-kaedah penyiasatan terkini berdasarkan pengalaman bertugas di BPR (Badan Pencegah Rasuah) dan SPRM selama mencecah 42 tahun.
“Jadi, itu bukan sahaja satu penghormatan tetapi tanggungjawab kepada saya untuk memajukan anak bangsa dan walau sekecil mana pun saya akan sumbang kepada UITM dan SPRM juga akan sentiasa berkolaborasi dengan UiTM,” ujarnya. – UTUSAN