RANTAU PANJANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan menyeludup 400 kilogram bangkai babi hutan selepas menahan seorang lelaki tempatan di sempadan Malaysia-Thailand di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 6.10 pagi itu, anggota ATM turut merampas sebuah bot fiber berserta enjin, sebuah van, pasport, pas dan beberapa barangan peribadi suspek.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan hari ini berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah mengesan lima lelaki sedang melakukan kerja-kerja pemindahan barang dari tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia menggunakan tiga buah bot.
“Semasa diserbu, kita berjaya menahan seorang lelaki, manakala empat lagi rakan suspek telah berjaya melarikan diri Thailand menggunakan dua buah bot.
“Hasil soal siasat, suspek memberitahu dia dan rakan-rakannya sedang memindahkan karkas daging babi hutan untuk dijual ke Thailand,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM42,735.
Katanya, suspek dan barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN