Akta lindungi saksi kanak-kanak berkuat kuasa hari ini

Akta lindungi saksi kanak-kanak berkuat kuasa hari ini

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan secara rasmi menguatkuasakan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 (Akta 676) bermula hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan tekad untuk terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting dalam menegakkan keadilan.

Kata beliau, usaha itu sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak.

“Dengan pindaan ini, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) atau mana-mana kesalahan dalam jadual kepada akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta 676.

“Ini termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan di bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Pada 11 Julai lalu, Akta 676 diluluskan di Dewan Rakyat dengan tujuan untuk memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.

Melalui pindaan tersebut, Akta 676 kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.

Beberapa akta berkaitan turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan iaitu antaranya Akta Keterangan 1950 (Akta 56), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Sumpah dan Ikrar 1949 (Akta 1949).

Selain itu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) dan Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77) turut dipinda.

Dalam pada itu, Azalina berkata, pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) yang dikuatkuasakan pada 10 Julai lalu adalah antara bukti nyata iltizam kerajaan dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak.

Jelasnya, salah satu perubahan utama dalam pindaan tersebut adalah penambahan Seksyen 6A, yang memperuntukkan pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua orang Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

“Proses pelantikan bagi jawatan-jawatan ini kini sedang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Pelantikan ini akan memastikan suara dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia terus diperkasa serta diberi perhatian yang sewajarnya dalam dasar dan pentadbiran negara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan akan terus komited dalam memastikan hak dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini sentiasa terpelihara sejajar dengan prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya