SHAH ALAM: Selangor menerima cadangan balas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung rundingan bagi pemeteraian Akta Pengurusan Sisa Pejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemeteraian itu masih di peringkat rundingan dan memberikan komitmen untuk memuktamadkan perkara tersebut dengan segera.
“(Dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) kita sudah membuat beberapa ketetapan, rundingan sedang berjalan. Ada beberapa ketetapan di pihak kerajaan negeri masih dalam rundingan, jadi biar mereka habiskan perbincangan itu dahulu.
“Saya ingat kita boleh selesaikan segera, memang kita akan laksanakan. Boleh dapat (penyelesaian segera) tetapi kita ada beberapa cadangan balas daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita, semalam.
Beliau menambah, antara terma yang dicadangkan oleh kerajaan negeri termasuklah membenarkan anak syarikat kerajaan negeri melakukan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam.
“Itu dalam terma perundingan, tetapi belum boleh didedahkan lagi. Tetapi, kita akan kemukakan nanti,” ujarnya.
Utusan Maysia sebelum ini melaporkan Jemaah Menteri meluluskan kemasukan Selangor dan Pulau Pinang sebagai dua negeri terkini untuk menggunapakai Akta 672.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, bagaimanapun kelulusan yang diberikan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lalu itu baru di peringkat keputusan dasar dan memerlukan rundingan lanjut dengan kerajaan di kedua-dua negeri itu.
Pada November lalu akhbar ini juga melaporkan Selangor menjangkakan untuk memuktamadkan ratifikasi Akta 672 selewat-lewatnya pada awal tahun ini.
Pelaksanaan pengurusan sisa pepejal bersama Kerajaan Persekutuan melalui akta tersebut dijangka mengurangkan kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM).
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Februari lalu memaklumkan kerajaan negeri akan menggunakan Akta 672 bagi membanteras aktiviti pelupusan sampah secara haram selepas ia diratifikasi. – UTUSAN