KOTA BHARU: Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyediakan 39 buah lori sebagai persediaan membekalkan air kepada pengguna bagi menghadapi musim perayaan Aidilfitri.
Pengerusi Jawantankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, daripada jumlah itu 12 lori tangki air milik AKSB dan selebihnya Lori Air Kontrak (LAK) akan menghantar bekalan air bersih ke 369 tangki statik kepada penduduk di kawasan yang terjejas atau terputus bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Menurutnya, AKSB menjangkakan kemuncak permintaan tinggi terhadap bekalan air itu akan berlaku dalam tempoh sembilan hari bermula Jumaat ini.
“Bagi memaksimumkan keupayaan perkhidmatan pada musim perayaan ini, AKSB mempunyai pelan kesiapsiagaan bekalan air merangkumi kesemua jajahan operasi yang mula digerakkan 27 Mac hingga 5 April.
“Sebanyak 43 buah Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi di seluruh jajahan, bagi membekalkan air bersih kepada 271,815 akaun pengguna di seluruh Negeri Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dr. Izani memberitahu, sepanjang sambutan Aidilfitri AKSB menjangkakan permintaan terhadap bekalan air akan meningkat kepada 622 juta liter sehari (JLH) berbanding 535 JLH pada hari biasa.
Katanya, sebanyak 14 pasukan daripada AKSB dan 12 pasukan kontraktor serta terdapat satu pasukan utama diketuai oleh Pengurus Jajahan yang dibantu pegawai lain akan digerakan bagi kerja-kerja membaiki paip pecah atau bocor sepanjang tempoh berkenaan.
“Jika ada sebarang masalah pengguna boleh menghubungi Operasi Talian Aduan (Pintas) di 15777 untuk membuat laporan.
“Operasi Pintas pada 28 Mac sehingga 5 April akan bermula seawal pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam. Untuk Hari Raya pertama dan kedua pula bermula pukul 10.30 pagi-12.00 tengah malam,” ujarnya.-UTUSAN