PETALING JAYA: Trend penggunaan akuarium untuk menjual air balang serta tong sampah hitam bagi menyimpan bahan mentah di bazar Ramadan berisiko menimbulkan pencemaran kimia dan mikrobiologi.
Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Siti Shahara Zulfakar berkata, penggunaan bekas yang diperbuat daripada bahan bukan gred makanan (non-food grade materials) boleh mengandungi bahan kimia berbahaya seperti Bisphenol A (BPA), pewarna, aditif atau bahan kimia lain yang berisiko menjejaskan kesihatan.
Jelasnya, bahan kimia itu boleh meresap ke dalam makanan dan minuman, sekali gus membahayakan pengguna.
“Sebagai contoh, sekiranya akuarium tersebut pernah digunakan untuk memelihara ikan, masih ada kemungkinan sisa bahan kimia seperti antibiotik, algaecide, bahan antiklorin atau bahan kimia lain kekal di dalamnya.
“Jika tidak dibersihkan dengan sempurna, bahan-bahan ini boleh mencemarkan air minuman yang dijual. Permukaan bekas yang sukar dicuci atau dibasmi kuman boleh menjadi tempat pembiakan bakteria patogen, meningkatkan risiko pencemaran makanan dan seterusnya memberi kesan buruk kepada kesihatan pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan semua peniaga makanan, termasuk di Bazar Ramadan dilarang menggunakan peralatan yang tidak direka untuk penyimpanan atau penyediaan makanan.
Menerusi nasihat keselamatan makanan sempena Ramadan, KKM menegur tindakan peniaga yang menggunakan akuarium sebagai bekas air balang, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah, serta peralatan lain yang boleh mencetuskan pencemaran makanan dan membahayakan kesihatan pengguna.
Siti Shahara menjelaskan tanda-tanda awal keracunan makanan boleh muncul dalam tempoh 30 minit hingga 24 jam selepas mengambil makanan yang tercemar.
“Gejala bergantung kepada jenis patogen atau toksin yang menjadi punca keracunan, tetapi secara umum, tanda-tanda yang perlu diperhatikan termasuk mual dan muntah, cirit-birit, sakit atau kekejangan perut, demam serta rasa lemah atau keletihan,” katanya.
Sementara itu, katanya, makanan tidak habis, tidak boleh dijual semula pada keesokan hari, terutama jika telah terdedah kepada zon suhu bahaya. iaitu di antara lima hingga 60 darjah celcius.-UTUSAN.