KOTA BHARU: Syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) mengesahkan 16,545 keping tiket bas ekspres sempena Hari Raya Aidilfitri habis terjual dalam tempoh empat jam selepas penjualannya dibuka pada 1 Mac lalu.
Pengerusinya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, untuk perayaan kali ini sebanya 71 trip perjalanan telah disediakan untuk kemudahan pelanggan.
“Daripada jumlah itu, 46 trip adalah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu (KL-KB).
“Untuk makluman, tiket bagi trip perjalanan pada waktu puncak menjelang sambutan Hari Aidilfitri iaitu pada tarikh 26 hingga 30 Mac sudah habis terjual,”katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan zakat kepada 315 asnaf di Pejabat E-Mutiara, Panchor, di sini hari ini.
Che Ibrahim memberitahu, E-Mutiara akan menyediakan tiga trip tambahan waktu puncak tersebut bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Katanya, penjualan yang agak laju dibantu oleh pemakluman awal oleh pihaknya.
Dalam perkembangan lain, Che Ibrahim menyampaikan penghargaan kepada lima anggota polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatluasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu yang membantu menolak bas ekpres E-Mutiara yang mengalami kerosakan di Kota Bharu pada Khamis, minggu lepas.
“Mereka telah bersama-sama beberapa orang awam telah bertungkus lumus menolak bas ekpres milik syarikat kami sejauh 50 meter dari depan premis Farmasi I-Medikel sehingga ke Jalan Telipot.
“Kelima-lima anggota polis trafik diketuai Koperal A. Halim Jaafar, 39 itu bersama-sama orang awam telah mengambil masa dari 10 hingga 15 minit untuk menolak bas berkenaan bagi memastikan ia tidak mengganggu aliran trafik,” ujarnya.-UTUSAN