KLANG: Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas antaranya daging, ayam dan sayur-sayuran di seluruh negara mencukupi sempena sambutan Aidilfitri ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya ada menerima laporan mengenai kekurangan bekalan namun jumlahnya hanya kecil.
Jelas beliau, wujud kelompongan satu atau dua kawasan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bertindak segera bagi mengatasi masalah itu.
“Tahun ini aduan seumpama itu amat kurang dan semua (bekalan) sampai kepada pengguna.
“Bekalan bagi sambutan Aidilfitri dijamin mencukupi dan pengguna tidak bermasalah mendapatkan barangan keperluan kerana kementerian membuat persediaan awal menambahnya,” katanya selepas melancarkan program Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini, hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, harga barangan asas sempena Aidilfitri masih terkawal dan tiada kenaikan harga.
Pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berjaya mengekang kenaikan harga sekali gus menjadikan tahun ini antara yang terbaik dalam sejarah kawalan harga menjelang musim perayaan.
Menurut Mohamad, pihaknya menghargai semua pihak yang menyokong usaha kerajaan memastikan harga barangan terkawal dan berada pada paras rendah.
“Seperti disebut Perdana Menteri, dalam sejarah beliau menyertai kerajaan sejak 1982, ini kali pertama menjelang hari raya harga barang tidak naik bahkan ia turun.
“Justeru, saya berterima kasih terutama kepada petani, pengusaha ayam dan telur yang menyokong usaha kita termasuk menerusi sesi libat urus,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM16 juta nilai jualan direkodkan menerusi program berkenaan yang berlangsung di 262 lokasi seluruh negara sehingga esok.
“Selain Pasar Tani Taman Sri Andalas, sebanyak 42 lokasi terpilih ditawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi Bakul Madani Raya dan potongan harga sehingga 20 peratus bagi ayam proses.
“FAMA komited memastikan pengguna mendapat produk berkualiti dengan harga berpatutan dan memperkukuhkan peranan pasar tani sebagai platform utama bagi petani serta usahawan tempatan,” katanya. – UTUSAN