KUALA SELANGOR: Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bakal dibanjiri lebih 140,000 kenderaan sehari menjelang cuti sambutan Aidilfitri minggu depan iaitu peningkatan sehingga 50 peratus berbanding kebiasaan.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohamed Idid berkata, faktor itu susulan peningkatan jumlah pengguna sejak beberapa seksyen lebuh raya siap sepenuhnya.
“Aliran trafik harian hanya melibatkan 60,000 kenderaan sebelum pembukaan seksyen Asam Jawa di sini, pada 20 November 2023. Jumlah itu kian meningkat sehingga 8
0,000 kenderaan sehari dengan turut siapnya keseluruhan jajaran di Perak.
“Sempena Aidilfitri ini, kita jangka lebih 150,000 kenderaan akan menggunakan WCW sehari terutama dari Taiping Selatan ke Banting,” katanya ketika ditemui pada program Ihya Ramadan Parlimen Tanjong Karang, malam tadi.
Pada majlis itu, seramai 300 warga emas, anak yatim dan anak yatim menerima sumbangan Aidilfitri daripada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi.
Tambah Syed Mohamed, bagaimanapun WCE masih mampu mengawal lonjakan trafik itu kerana ia dapat menampung lebih 300,000 kenderaan sehari.
“Kita juga mempunyai pasukan peronda lebuh raya bagi memastikan kelancaran lalu lintas terutama ketika musim perayaan.
“Selain itu, kita bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” ujarnya.
Sementara itu, Zulkafperi Hanafi berkata, kesesakan di Tanjong Karang dijangka berkurangan selepas susur keluar WCE berdekatan Bagan Tengkorak di sini, siap tahun depan.
“Cadangan susur keluar kedua berhampiran Hospital Tanjong Karang juga mampu melancarkan aliran trafik dan memberi impak positif pertumbuhan ekonomi serta nilai hartanah di kawasan itu.
“Saya berharap projek itu dapat diteruskan dan disiapkan mengikut jadual. Kita tidak mahu terus dilabel sebagai ‘pekan koboi’ namun berkembang menjadi bandar lebih moden serta maju,” katanya. – UTUSAN