SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi mengagihkan sumbangan 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing sempena sambutan Aidiladha pada Jun depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim berkata, sumbangan menerusi Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) itu akan diagihkan kepada semua penerima di negeri ini.
“Sebanyak 50 pembekal telah dipilih bagi program itu yang dipilih menerusi sesi undian kerja pada 20 Mac lalu. Haiwan korban itu akan diedarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Pengagihan itu melibatkan masjid, surau dan komuniti setempat yang terpilih di seluruh Selangor,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, PSKNS itu akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari di Dewan Raja Muda Musa di sini, pada 18 Mei depan.
Selain itu, Izham memaklumkan, sebanyak 25 lokasi dipilih bagi Jualan Mega Ehsan Aidilfitri bermula hari ini hingga Sabtu ini.
“Lokasi itu meliputi daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Sabak Bernam, Klang, Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Kuala Selangor.
“Jualan itu antaranya ayam standard dengan potongan harga RM5, daging pejal (potongan RM5), telur gred B (potongan RM2), dan beras lima kilogram (potongan RM6),” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya turut mengedarkan sumbangan 3,500 ekor ayam segar dan 1,775 pek beras sempena Aidilfitri kepada golongan asnaf di DUN terpilih. – UTUSAN