PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan polis petang tadi di kediamannya sebaik pulang dari Osaka, Jepun dipercayai memperdaya orang ramai membabitkan wang berjumlah RM10 juta yang kononnya bagi menyelesaikan kes pengubahan wang haram.
Menurut sumber, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sebaik tiba di kediamannya di Jalan U Thant dekat sini petang tadi.
“Suspek setakat ini sudah mengambil duit daripada mangsa kira-kira RM10 juta di mana sebelum itu beliau dikatakan meminta RM25 juta dengan mendakwa mempunyai kenalan rapat dengan polis dan boleh menyelesaikan kes dihadapi mereka.
“Malah suspek kononnya ingin menyerahkan wang diambil itu untuk diserahkan kepada polis bagi membantu mangsa tidak dikenakan tindakan atau disiasat membabitkan kes AMLA,” katanya kepada ketika dihubungi di sini malam ini.
Sumber berkata, namun kegiatan suspek diketahui pihak AMLA yang kemudian menjalankan risikan dan siasatan sebelum menahan suspek petang tadi.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapat perintah tahanan reman,” katanya.
Suspek merupakan tokoh berpengalaman selama 30 tahun dalam perniagaan industri minyak, gas dan merupakan pengerusi kepada sebuah syarikat.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu sidang akhbar berkaitan kes ini akan diadakan dalam masa terdekat.-UTUSAN