KUALA TERENGGANU: Pengalaman Adam Adli Abdul Halim sepanjang menjadi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) membolehkan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu membawa suara anak muda ke peringkat tertinggi dalam PKR jika dipilih menjadi ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan parti itu, Mei ini.
Ketua AMK Terengganu, Md. Asyraf Zulfadhly Md Zainudin berkata, keputusan Adam Adli bertanding jawatan itu mencerminkan semangat kepemimpinan yang kukuh dan komitmen beliau dalam memperjuang agenda reformasi serta kemajuan parti.
“Kami di AMK Terengganu percaya bahawa beliau memiliki keupayaan, visi dan kepemimpinan yang diperlukan untuk terus memacu parti ke arah kejayaan yang lebih gemilang.
“Sebagai pemimpin yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan perubahan, kami yakin bahawa pengalaman dan pandangan beliau sepanjang menjadi ketua AMK akan memberi impak positif dalam memperkukuh kekuatan PKR di peringkat nasional.
“AMK Terengganu turut bersedia untuk memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan beliau dapat membawa suara anak muda ke peringkat tertinggi dalam parti ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Baru-baru ini, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengesahkan menawarkan diri sebagai calon MPP PKR sebagai cara untuk beliau terus menyumbang jasa dalam parti.-UTUSAN.