97 pengendali makanan bazar Ramadan di Kelantan gagal patuhi kebersihan dikompaun

97 pengendali makanan bazar Ramadan di Kelantan gagal patuhi kebersihan dikompaun

ZAINI Hussin (kanan) beramah mesra bersama peniaga bazar pada Program Walkabout di Bazar Ramadan Dataran Kenanga Machang,Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 97 notis kompaun terhadap pengendali makanan di bazar Ramadan di negeri ini melibatkan nilai RM10,900 setakat semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata kompaun yang dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 itu melibatkan pelbagai kesalahan termasuk berkaitan pemakaian pengendali makanan dan kebersihan diri.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 830 gerai dan 1,967 orang pengendali makanan di bazar Ramadan di seluruh Kelantan telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 823 atau 99 peratus premis makanan berada pada tahap bersih dengan markah melebihi 80 peratus.

“Seramai 1,881 iaitu 95 peratus pengendali makanan didapati telah mendapat suntikan anti tifoid dan 1,751 iaitu 89 peratus menghadiri kursus Latihan Pengendali Makanan (LPM),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Walkabout di Bazar Ramadan Dataran Kenanga Machang di sini hari ini.

Zaini memberitahu, sebanyak 73 bazar Ramadan telah berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun ini dengan keseluruhan 4,336 petak perniagaan.

“JKNK telah menubuhkan 59 pasukan pemantau yang terdiri daripada 240 orang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua bazar.

“Pemantauan itu dilakukan bagi memastikan makanan yang dijual selamat dimakan dan tidak menjadi punca kepada kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti demam kepialu, taun selain keracunan makanan kepada awam,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya