LIPIS: Sebanyak RM606,200 sumbangan Aidilfitri diperuntukkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) kepada 866 peserta di tujuh rancangan sosial kendaliannya tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan tahunan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan beban peserta.
Katanya, bagi daerah Lipis sahaja, seramai 388 peserta dari tiga rancangan sosial iaitu Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) Merapoh, Jerkoh dan Peruang menerima peruntukan berjumlah RM271,600.
“Setiap peserta menerima bantuan RM700 dan ini bukan kali pertama bantuan seperti ini disalurkan.
“PKPP tidak pernah gagal menghulurkan bantuan Aidilfitri hasil daripada pengurusan kewangan yang baik. Malah apabila ada lebihan, ia dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian Bantuan Aidilfitri PKPP di sini hari ini.
Wan Rosdy juga berkata, bantuan disalurkan itu bukan suatu keistimewaan sebaliknya kerana kedudukan kewangan yang mengizinkan.
“Tahun ini dan tahun sebelumnya jumlahnya sama. Tetapi PKPP tidak pernah gagal memberikan bantuan Aidilfitri. Kita doalah supaya tahun depan ada sedikit peningkatan,” katanya. – UTUSAN