KOTA KINABALU: Seramai 669 orang hilang tempat berteduh setelah 80 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Cempaka, Likas, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, rumah setinggan atas air yang dianggarkan 80 buah itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 pagi dan sepasukan anggota dari BBP Lintas dan dibantu anggota BBP Kota Kinabalu dengan kekuatan 32 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati 80 buah rumah musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan seluas 250 meter persegi. Tiada mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan.
Agustavia berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Likas bagi menempatkan kesemua mangsa yang terlibat.
Sementara itu di Penampang, seorang rentung manakala, seorang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Limbanak, di sini semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi itu, seorang mangsa ditemukan rentung manakala, seorang lagi mangsa yang dipercayai terkena renjatan elektrik maut di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran itu pada pukul 3.36 pagi dan dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan Putatan dengan keanggotaan seramai 19 orang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, dimaklumkan terdapat tiga mangsa yang terlibat dalam kebakaran berkenaan. Operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan sumber air yang diperoleh daripada anak sungai.
“Semasa operasi pemadaman, dua mangsa berjaya ditemukan. Seorang wanita berusia 50-an maut dipercayai terkena renjatan elektrik manakala, seorang lagi ditemukan rentung di dalam rumah.
Jantina mangsa rentung belum dapat dikenal pasti.
“Pencarian mangsa terakhir masih dilakukan di sekitar kawasan rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata beliau, pasukan unit pengesan K9 turut digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi. – UTUSAN