KUANTAN: Kawasan ladang kelapa sawit seluas kira-kira 76 hektar musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular berhampiran Gebeng di sini sejak sembilan hari lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Razam Taja Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, 67 hektar kawasan ladang yang terbakar berjaya dipadamkan.
“Baki kira-kira 8.9 hektar masih terbakar dan api mula merebak semula semalam akibat tiupan angin kuat dengan pemadaman masih dalam operasi dengan bantuan pelbagai agensi.
“Kekuatan anggota bomba terlibat dalam pemadaman seramai 73 orang iaitu 16 daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dan selebihnya bantuan daripada balai luar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Razam, operasi pemadaman dipecahkan kepada tujuh sektor bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain dengan setiap sektor mempunyai 10 anggota bomba.
Katanya, operasi pemadaman turut menggunakan ‘water bombing’ melibatkan satu unit pesawat dengan kekuatan 11 orang kru.
“Selain itu, bantuan pam dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi tujuan ‘total flooding’ di kawasan yang terbakar dan bantuan satu unit jengkaut dari Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan ‘fire break’ dan akses laluan pemadaman,” ujarnya. – UTUSAN