KAJANG: Seramai 15,000 anggota sukarelawan aktif Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima caruman perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai jaminan keselamatan sekiranya berlaku sebarang insiden semasa bertugas.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, caruman itu dibuat untuk anggota sukarelawan yang aktif bersama pasukan itu dan di lapangan.
Menurutnya, ketika ini syarat utama untuk anggota sukarelawan yang bertugas di Pusat Kawalan Operasi adalah caruman Perkeso dan dalam masa sama pihaknya menggalakkan anggota pasukan berkenaan turut mempunyai caruman insuran sendiri.
“Setiap tahun kami akan semak semula keaktifan anggota. Jika ada yang tidak lagi aktif, kami akan ganti dengan anggota baharu bagi memastikan mereka terus mendapat perlindungan yang sewajarnya.
“Mereka juga bukan kakitangan tetap, jadi perlindungan melalui Perkeso tersebut memberi kelebihan selain daripada insurans yang dicarum sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Kali ke-73 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Robiah Wang di Ibu Pejabat Pertahanan Awam, di sini hari ini.
Menurutnya, dua caruman itu penting bagi menjaga kebajikan anggota pasukan itu yang turut berdepan ancaman bahaya ketika melakukan operasi dan bertugas di lapangan.
“Ini kerana mereka juga terdedah kepada bahaya tetapi dengan adanya caruman Perkeso itu dapat meringankan beban anggota,” katanya.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kebajikan anggota sukarelawan APM terus terpelihara ketika menjalankan tugas di lapangan.
Terdahulu media melaporkan, anggota sukarelawan APM yang kini berkerusi roda selepas insiden dipatuk ular ketika bertugas menerima manfaat bulanan Perkeso di bawah skim SPS Madani sejak bercuti sakit lebih sebulan lalu.-UTUSAN.