322.6 kg lebihan makanan dan minuman diselamatkan di bazar Ramadan Arau - Utusan Malaysia

322.6 kg lebihan makanan dan minuman diselamatkan di bazar Ramadan Arau

SEJUMLAH 322.6 kilogram (kg) lebihan makanan dan minuman berjaya dikumpulkan menerusi Program MySaveFood di bazar Ramadan Arau.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sejumlah 322.6 kilogram (kg) lebihan makanan dan minuman berjaya dikumpulkan menerusi Program MySaveFood yang dilaksanakan selama empat hari bermula 17 sehingga 20 Mac di bazar Ramadan Arau.

Daripada jumlah itu, seberat 73.8 kg merupakan kategori makanan manakala 248.8 kg pula adalah minuman.

Penolong Pengarah Kanan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Norfadilla Jamaluddin berkata, semua makanan yang diselamatkan itu telah diagihkan kepada petugas-petugas barisan hadapan seperti Balai Polis Arau, Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Arau, Markas Briged 30 dan Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Cawangan Arau.

“SWCorp telah melaksanakan program ini yang merupakan inisiatif utama bagi mengurangkan pembaziran di tapak bazar Ramadan di mana lebihan makanan yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar diselamatkan dan diberikan kepada pihak memerlukan seperti asnaf, gelandangan dan lain-lain.

“Pada tahun ini, SWCorp menjalinkan kerjasama strategik bersama APM dengan mengambil kira peranan dan tanggungjawab mereka sebagai salah satu badan beruniform yang bertugas di barisan hadapan,” katanya di sini, hari ini.

Untuk rekod, menerusi hasil pelaksanaan program itu pada tahun lalu telah berjaya menyelamatkan sebanyak 830 kg lebihan makanan dan minuman di bazar yang sama.

Mengulas lanjut, Norfadilla berkata, pelaksanaan program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap inisiatif kerajaan dalam memperkasakan amalan berkenaan untuk dijadikan budaya dalam kehidupan seharian.

“Oleh itu, kempen ini perlu dibudayakan bukan sahaja dalam tempoh perayaan, tetapi diteruskan pada masa akan datang.Amalan berlebih-lebihan dalam penyediaan dan pembaziran makanan perlu dielakkan agar ia tidak berakhir di tapak pelupusan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara bersih, indah dan sejahtera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Norfadilla berkata, SWCorp turut melaksanakan Program Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Sempena Bulan Ramadan tahun ini dengan kerjasama daripada kerajaan negeri. Majlis Perbandaran Kangar (MPK), syarikat konsesi E-Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman).

Pelaksanaan program ini melibatkan empat buah bazar Ramadan di bawah seliaan MPK dalam memberi kesedaran kepada peniaga dan pengunjung supaya mengelakkan pembaziran makanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya