ARAU: Lebih 3,000 orang tidak melepaskan peluang membeli daging tempatan dengan harga serendah RM18 sekilogram bersempena program Jualan Rahmah UMNO Arau (Juara) di pekarangan pejabat UMNO Bahagian Arau di sini semalam.
Pada jualan tersebut, UMNO Bahagian Arau menumbangkan sebanyak enam ekor lembu atau lebih satu tan metrik daging segar selain 1,500 ekor ayam yang dijual pada harga RM9 sehingga RM15 seekor mengikut saiz.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, pihaknya menyediakan lebih satu tan daging tempatan dan 1,500 ekor ayam untuk dijual bermula pukul 9.30 malam buat orang ramai.
Katanya, inisiatif tersebut antara lain bagi membantu rakyat khususnya golongan B40 bagi membeli barangan keperluan dengan harga murah bersempena Aidilfitri
“Sambutan diterima daripada orang ramai adalah sangat menggalakkan di mana ada di antaranya sanggup menanti giliran bagi membeli kupon seawal pukul 6 petang.
“Selain masyarakat setempat, penduduk di kawasan lain sekitar negeri ini juga turut tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bahan mentah dengan harga murah itu.
“Kita dapati pengunjung sanggup beratur sepanjang kira-kira satu kilometer bagi mendapatkan kupon untuk membeli daging dan ayam yang dijual ini,” katanya.
Rozabil yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, susulan sambutan yang amat memberangsangkan itu, beliau turut bercadang untuk meneruskan lagi inisiatif berkenaan selepas ini bagi membantu lebih ramai pihak memerlukan.
Katanya, program jualan itu juga berkemungkinan akan diperluaskan lagi melibatkan lebih banyak barangan keperluan asas yang akan ditawarkan pada harga murah.
“Kalau dilihat di Parlimen Arau ini memang ramai golongan dalam kategori B40, jadi disebabkan itu kita fokus untuk laksana program sebegini bagi bantu lebih ramai orang.
“UMNO Bahagian Arau mengambil inisiatif tersebut bagi membantu rakyat bukan sahaja di kawasan Arau sebaliknya orang ramai di seluruh negeri ini bagi mendapatkan barangan keperluan itu dengan harga murah.
“Dalam keadaan bagaimana ramai yang merungut mengenai kos sara hidup ia memberi inspirasi kepada UMNO Bahagian Arau dan juga UMNO Perlis untuk menganjurkan program ini,” katanya.-UTUSAN