3,000 penduduk gadai nyawa guna jalan mendap - Utusan Malaysia

3,000 penduduk gadai nyawa guna jalan mendap

PENDUDUK terpaksa berhati-hati semasa melalui jalan mendap di Kampung Jerek ke Kampung Bertam, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk di Mukim Jerek di sini, bergadai nyawa menggunakan jalan utama yang merekah dan mendap akibat musim tengkujuh, lebih tiga bulan lalu.

Jalan tersebut menjadi perhubungan untuk urusan harian mereka selain laluan ambulans yang berulang-alik membawa pesakit di kampung berkenaan untuk mendapat rawatan lanjut di Hospital Gua Musang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Jerek, Abd. Razak Ramli, 59, berkata, beliau bimbang jika langkah segera tidak diambil boleh mendatangkan musibah kepada pengguna terutama pada waktu malam.

Katanya, kawasan yang gelap menyebabkan pemandangan penduduk yang menggunakan laluan tersebut menjadi terhad.

“Ketika ini, jalan ini hanya boleh dilalui satu lorong dan sangat sibuk pada waktu puncak awal pagi dan tengah hari. Kami sangat berharap pihak berwajib dapat membaiki atau menaiki taraf jalan ini secepat mungkin untuk keselesaan dan keselamatan penduduk kerana menjadi laluan utama untuk menghantar anak ke sekolah yang terletak di Kampung Jerek,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jerek, Wan Zahari Wan Harun, 57, berkata, masalah tersebut berpunca daripada hujan berterusan semasa musim tengkujuh tahun lalu.

“Bukan penduduk Kampung Jerek sahaja menggunakan jalan ini malah Kampung Bertam Baru, Kampung Bertam Lama, Kampung Mahligai dan Kampung Jelekang juga menjadikannya laluan utama setiap hari,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya