3.14 juta kenderaan dijangka masuk Pahang sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

3.14 juta kenderaan dijangka masuk Pahang sempena Aidilfitri

RAZALI Kasim (tengah) melancarkan 'Pelepasan Jentera' sempena 'Ops Siaga Raya' di pusat membeli belah East Coast Mall (ECM) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 3.14 juta kenderaan dijangka memasuki Pahang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menerusi laluan utama yang menghubungkan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, jumlah itu berdasarkan jangkaan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama bermula 27 Mac hingga 7 April ini.

Menurutnya, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2.24 juta kenderaan akan melalui laluan itu dalam tempoh berkenaan.

“Bagi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), sebanyak 903,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan itu dengan kemuncak trafik pada 6 April ini melibatkan 119,000 kenderaan.

“Kenaikan aliran trafik ini bukan sahaja disebabkan oleh rakyat negeri ini yang pulang ke kampung halaman malah turut melibatkan pengguna dari negeri lain yang menggunakan laluan di Pahang sebagai transit ke destinasi masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 di pusat membeli belah East Coast Mall (ECM) di sini hari ini.

Mengulas tentang kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya, Ir. Razali berkata, projek membabitkan Pakej 5C1 di daerah Bentong di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) kini giat dilaksanakan.

Katanya, projek melibatkan jarak 400 meter itu membabitkan kos sebanyak RM500,000 dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 Mac ini.

“Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negeri turut dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang dilantik termasuk pemasangan lampu jalan berasaskan tenaga solar di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Keutamaan akan diberikan di kawasan gelap terutama di laluan utama secara berperingkat mengikut peruntukan diluluskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN