285 hektar kebakaran hutan di Pekan padam sepenuhnya - Utusan Malaysia

285 hektar kebakaran hutan di Pekan padam sepenuhnya

PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim (dua dari kanan) melakukan gimik kempen 'Menghapuskan Bahaya Kebakaran' di East Coast Mall (ECM) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas 285.49 hektar di Kampung Cenderawasih, Ladang Nenas dan Palm Valley, Pekan yang berlaku sejak 7 Mac lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, kejayaan itu hasil usaha berterusan anggota bomba bersama agensi-agensi berkaitan sepanjang kira-kira 18 hari operasi dijalankan.

Menurutnya, walaupun api sudah dipadamkan sepenuhnya, pihaknya tetap meneruskan pemantauan rapi termasuk menggunakan dron dan rondaan fizikal bagi mengelakkan kebakaran berulang.

“Pemantauan secara berkala akan dilakukan dalam tempoh seminggu dua ini bagi memastikan tiada lagi sisa bara yang boleh mencetuskan semula kebakaran.

“Langkah sama turut dilaksanakan di kawasan Gebeng di sini yang sebelum ini mengalami kebakaran hutan bagi memastikan ia tidak merebak,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 di pekarangan sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Razam turut menasihatkan orang ramai khususnya pemilik premis kediaman agar lebih berhati-hati dalam mengendalikan peralatan elektrik bagi mengelakkan insiden kebakaran, terutamanya menjelang musim perayaan.

Katanya, statistik menunjukkan banyak kejadian kebakaran berpunca daripada kecuaian termasuk penggunaan peralatan elektrik dan kelalaian semasa memasak.

“Antara kes biasa berlaku adalah mangsa terlupa menutup api selepas memanaskan makanan, terutamanya pada waktu malam.

“Selain itu, saya juga ingin mengingatkan supaya laluan kecemasan di dalam rumah sentiasa dalam keadaan baik dan tidak dihalang oleh sebarang objek,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN