KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperintahkan untuk membayar kos RM225,000 anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikatnya.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memerintahkan sedemikian rentetan tindakan syarikat itu menarik balik saman terhadap Riza, Red Granite Pictures dan Red Granite Capital Ltd.
Pada 24 Februari lalu, peguam Rabindra S. Nathan yang mewakili 1MDB dan tiga anak syarikatnya memaklumkan mahkamah beliau telah menerima arahan daripada anak-anak guamnya untuk menarik balik saman tersebut.
Tiga anak syarikat 1MDB ialah 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.
Bagaimanapun ,tiada sebarang alasan diberikan.
Penarikan balik saman itu tidak dibantah peguam Riza iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua belah pihak mengemukakan hujah mengenai kos dan menetapkan hari ini bagi keputusan.
Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya selaku plaintif memfailkan saman tersebut dan menuntut ganti rugi menuntut hampir RM1 bilion (AS$248 juta) yang didakwa diseleweng daripada syarikat itu.
Perbicaraan kes saman berkenaan bermula pada 16 Oktober 2024 dan seramai tiga saksi termasuk bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo Ai Swan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk memberi keterangan.
Dalam ucapan pembukaan perbicaraan itu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa wang AS$248 juta telah digunakan untuk kepentingan peribadi Riza bagi membayar pembelian beberapa hartanah dan perbelanjaan berjudi.
Wang tersebut juga telah digunakan oleh Riza serta sekutunya untuk membeli memorabilia filem selain membiayai filem keluaran Red Granite Pictures antaranya Wolf of Wall Street yang dibintangi aktor Hollywood, Leonardo DiCaprio.
Riza Shahriz dan dua syarikatnya dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 25 Okt 2021 mendakwa telah mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat.-UTUSAN.